AZIZAH BINTI BERDAN. Dikuasakan oleh Blogger.
RSS
Memaparkan catatan dengan label NILAI MURNI. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label NILAI MURNI. Papar semua catatan

Nilai Murni : HORMAT MENGHORMATI



           Hormat  dapat didefinisikan sebagai mempunyai pandangan yang tinggi terhadap seseorang dengan memberikan layanan yang penuh sopan, khidmat, takzim.



         Menghargai dan memuliakan seseorang dan institusi sosial dengan memberikan layanan yang sopan; antara lain terjelma melalui ketaatan terhadap ibu bapa, orang yang lebih tua, guru, rakan, jiran tetangga, dan pemimpin; dan terjelma juga melalui hormat kepada raja dan negara, patuh kepada undang-undang dan menghargai maruah diri.


  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Nilai Murni : KASIH SAYANG


        Perasaan cinta, kasih dan sayang yang mendalam dan berkekalan yang lahir daripada hati yang rela terhadap sesuatu termasuk sayang atau cinta akan nyawa, alam sekitar, negara dan keamanan.



  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Nilai Murni : BAIK HATI



Sikap sentiasa mengambil berat terhadap perasaan dan kebajikan orang lain secara tulus ikhlas. Sikap baik hati boleh dilihat dengan menilai tindak tanduk orang lain. Ini meliputi:
    • Aspek belas kasihan

    • Bertimbang rasa

    • Murah hati

    • Saling faham memahami

    • Sedia memaafkan

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Nilai Murni : KERAJINAN


         Berusaha bersungguh - sungguh dengan inisiatif, kreatif dan inovatif untuk mengahsilkan sesuatu yang  berkualiti. Rela mengorbankan masa dan tenaga untuk sesuatu perkara yang berfaedah.

       Amalan nilai kerajinan akan membolehkan pelajar menjadi pelajar yang cemerlang dan dapat melanjutkan pelajaran ke universiti.

         Usaha secara berterusan yang penuh semangat ketekunan dan dedikasi dalam melakukan  sesuatu perkara.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Nilai Murni : PATRIOTISME



Nilai patriotisme banyak digambarkan tentang bagaimana masyarakat berusaha dalam menuntut kemerdekaan, menghargai dan memelihara dan pengertian sebenar tentang kemerdekaan.

Patriotisme yang seringkali dikaitkan dengan cintakan watan adalah satu semangat atau nilai yang perlu dihayati oleh segenap lapisan masyarakat khususnya generasi muda.

Patriotisme sering dikaitkan dengan kesetiaan dan kecintaan terhadap negara sendiri. Seseorang itu dianggap berjiwa patriot apabila kepercayaan, amalan dan tindakannya menepati ciri-ciri patriotisme yang berteraskan kecintaan dan kesetiaan kepada negara



  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Kepentingan Nilai - Nilai Murni



Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis sebuah ringkasan tentang kepentingan nilai-nilai murni dalam kehidupanPanjang ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan supaya menggunakan ayat sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.

Nilai-nilai murni merupakan amalan baik yang perlu ada pada setiap orang supaya segala tindakan mereka tidak menyeleweng dari norma-norma sosial yang dikehendaki dalam masyarakat. Nilai-nilai murni ini dapat melahirkan insan yang unggul dan utopia demi merealisikan misi nasional negara. Sejajar dengan itu, subjek Pendidikan Moral dan Pendidikan Islam telah diajar di sekolah-sekolah untuk membentuk generasi muda yang sentiasa mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan mereka. Selain itu, ibu bapa juga perlu memainkan peranan penting untuk memastikan wujudnya nilai-nilai murni dalam diri anak-anak mereka.
Nilai-nilai murni penting dalam kehidupan untuk melahirkan insan yang berakhlak mulia. Sesungguhnya berakhlak mulia amat dituntut dari sudut budaya, peradaban dan agama kita. Amalan nilai-nilai murni dapat membentuk insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek. Kini, bilangan pelajar di negara kita sejumlah 5 juta orang, jika tidak diterapkan dengan nilai-nilai murni sejak di bangku sekolah maka mereka akan menjadi generasi yang akan merugikan negara pada masa kelak. Hal ini kerana, nilai-nilai murni akan mencerminkan suasana kehidupan yang harmoni di Malaysia.
Selain itu, perlu adanya nilai-nilai murni dalam kehidupan adalah untuk membentuk masyarakat yang berpegang teguh kepada ajaran agama. Kepatuhan kepada agama dapat membentuk insan mulia yang sentiasa patuh kepada Tuhan dan setia kepada negara. Oleh itu, ibu bapa perlu menerapkan nilai-nilai murni yang terdapat dalam doktrin agama masing-masing ke dalam jiwa anak-anak. Tambahan pula, nilai-nilai murni yang berasaskan agama penting untuk membentuk masyarakat yang bersatu padu.
Di peringkat sekolah pula, didikan moral yang positif dan nilai murni yang diterapkan oleh guru, akan dapat mengelakkan diri pelajar daripada terjebak dalam pelbagai pengaruh negatif luar yang tidak memberikan apa-apa faedah dan manfaat. Bekas Perdana Menteri, Tun Sri Dr. Mahathir Mohamad memperkenalkan subjek Pendidikan Moral di peringkat sekolah rendah dan sekolah menengah adalah bertujuan memupuk nilai-nilai murni remaja sejak di bangku sekolah. Hal ini demikian kerana negara memerlukan generasi yang berpengetahuan, berwibawa dan berwawasan, berdisiplin, hemah tinggi, dedikasi, berfikiran luas serta positif.
Guru-guru dan keadaan sekolah yang kondusif boleh membantu para pelajar untuk mewujudkan nilai murni dalam diri mereka. Kewujudan nilai-nilai murni ini dapat melahirkan pelajar yang cemerlang bukan sahaja dalam bidang akademik, tetapi juga bidang kokurikulum. Sebagai contohnya, guru-guru yang menunjukkan sikap positif boleh menjadi role model kepada para pelajar. Tambahan pula, keadaan sekolah yang kondusif dan lengkap dengan kemudahan pembelajaran dapat memudahkan para pelajar belajar dan seterusnya dapat memupuk sikap posif dalam diri mereka. Begitulah caranya sekolah dapat membantu para pelajarnya menjadi seorang yang memiliki nila-nilai murni dalam diri mereka.
Tidak dapat dinafikan bahawa masyarakat pada hari ini terlalu materialistik dan mementingkan kemewahan. Oleh itu, tanggapan sesetengah pihak yang menganggap kononnya nilai kasih sayang yang boleh ditukar ganti dengan harta benda merupakan satu kesilapan besar. Sebenarnya, gejala sosial yang semakin berleluasa ini berpunca daripada kekurangan kasih sayang daripada ibu bapa mereka. Ibu bapa terlalu sibuk dan tiada masa untuk menerapkan nilai-nilai murni kekeluargaan seperti kesopanan, adab dan kelakuan yang baik kepada anak-anak. Oleh itu, dalam usaha memupuk nilai murni dalam diri anak-anak, ibu bapa perlu sentiasa bersikap prihatin terhadap anak mereka bagi membina sebuah keluarga yang harmoni.
Kesimpulannya, semua masyarakat di negara ini perlulah tahu dan mengamalkan nilai-nilai murni dalam diri masing-masing. Hal ini demikian kerana, terdapat banyak kepentingan bagi nilai-nilai murni yang wujud dalam diri kita. Selain itu, terdapat banyak juga langkah untuk mewujudkan nilai-nilai murni ini. Sebagai hasilnya, negara akan memiliki rakyat yang produktif dan berkualiti.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

17 Nilai Murni

Penekanan terhadap nilai murni selaras dengan hasrat Wawasan 2020 untuk membentuk generasi baharu dengan acuan kita sendiri, iaitu generasi yang sarat dengan nilai murni. Hal ini menjadi asas pertimbangan penyemak kurikulum yang menghasilkan kurikulum semakan pada tahun 2003. Kini, di bawah gagasan Satu Malaysia, penekanan terhadap nilai murni di sekolah rendah menjadi bertambah penting. Apabila kita teliti, nilai murni di sekolah rendah terangkum dalam lapan nilai Satu Malaysia.

Di bawah ini disenaraikan 17 nilai murni.

1. Baik Hati … sikap mengambil berat terhadap perasaan dan kebajikan orang lain secara ikhlas yang dapat dilihat dengan menilai tindak tanduk seseorang terhadap orang lain.

2. Berdikari … kebolehan dan kesanggupan melakukan sesuatu tanpa bergantung pada orang lain yang terjelma juga melalui rasa tanggungjawab, berupaya bertindak sendiri, jaya diri dan yakin pada diri sendiri.

3. Hemah Tinggi … budi pekerti dan tingkah laku yang mulia dan lemah lembut serta budi bahasa yang patut diamalkan oleh seseorang dalam hubungannya dengan anggota masyarakat yang lain; terjelma melalui kesopanan, mengakui kesalahan diri, dan ramah mesra.

4. Hormat-menghormati … menghargai dan memuliakan seseorang dan institusi sosial dengan memberikan layanan yang sopan; antara lain terjelma melalui ketaatan terhadap ibu bapa, orang yang lebih tua, guru, rakan, jiran tetangga, dan pemimpin; dan terjelma juga melalui hormat kepada raja dan negara, patuh kepada undang-undang dan menghargai maruah diri.

5. Kasih Sayang … perasaan cinta, kasih dan sayang yang mendalam dan berkekalan yang lahir daripada hati yang rela terhadap sesuatu; termasuk sayang/cinta akan nyawa, alam sekitar, negara dan keamanan.

6. Keadilan … perlakuan, pertuturan dan keputusan yang saksama serta tidak berat sebelah; termasuk juga saksama.

7. Kebebasan … dapat melakukan sesuatu tanpa batasan asalkan kebebasan itu tertakluk pada peraturan dan undang-undang agama, masyarakat dan negara; terjelma melalui kebebasan di sisi undang-undang dan kebebasan dalam sistem demokrasi.

8. Keberanian … kesanggupan seseorang untuk menghadapi cabaran dengan yakin dan tabah hati; termasuk berani tanpa membuta tuli, berani kerana benar, berani mempertahankan pendirian, dan berani bertanggungjawab.

9. Kebersihan Fizikal dan Mental … kebersihan diri dan kebersihan persekitaran; terjelma melalui pertuturan, kelakuan, pemikiran dan amalan kerohanian.

10. Kejujuran … sikap dan perlakuan yang menunjukkan niat baik, amanah dan ikhlas tanpa mengharapkan sebarang balasan; termasuk amanah, bercakap benar, dan ikhlas.

11. Kerajinan … usaha secara berterusan yang penuh dengan semangat ketekunan dan dedikasi dalam melakukan sesuatu perkara; terjelma melalui kecekalan, daya usaha, dedikasi, gigih dan tekun.

12. Kerjasama … usaha yang baik dan membina yang dilakukan secara bersama-sama pada peringkat individu, komuniti, masyarakat atau negara untuk mencapai sesuatu matlamat; termasuk persaudaraan, tanggungjawab bersama, gotong-royong, toleransi, kebaikan bersama dan perpaduan.

13. Kesederhanaan … sikap tidak keterlaluan dalam membuat pertimbangan dan tindakan sama ada dalam pemikiran, pertuturan atau perlakuan supaya sesuai dengan norma dan nilai masyarakat; secara umum sederhana dalam mempertimbangkan kepentingan diri dan kepentingan orang lain.

14. Kesyukuran … perasaan dan perlakuan yang dilahirkan secara ikhlas atas nikmat dan kesenangan yang diperoleh; termasuk berterima kasih, mengenang budi, dan menghargai seseorang/sesuatu--fokus utama ialah kesyukuran kepada Tuhan.

15. Patriotisme … semangat cinta akan negara, taat setia kepada raja dan sanggup berkorban demi negara.

16. Rasional … dapat berfikir dengan berdasarkan alasan dan bukti yang nyata dan dapat melakukan tindakan yang wajar tanpa dipengaruhi oleh perasaan; termasuk mampu membuat pertimbangan, berfikir logik dan bersifat terbuka.

17. Semangat Bermasyarakat … kesediaan melakukan sesuatu berdasarkan semangat kekitaan seperti bermuafakat, kejiranan dan peka tentang isu sosial dan masyarakat.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

contoh gambar nilai-nilai murni yang patut dicontohi

menolong rakan di dalam kesusahan
gotong-royong membersihkan kawasan sekitar
menjaga kebersihan alam sekitar

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS